JOHOR BAHRU, 22 April 2026 – Usaha memperkasa sektor pelancongan negara melalui pendekatan berasaskan komuniti terus diperkukuh apabila Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengambil langkah proaktif meneroka potensi agropelancongan sebagai salah satu pemangkin baharu pembangunan luar bandar. Inisiatif ini dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2027 (TMF 2027), yang menekankan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan pengalaman sebenar di tanah rancangandan warisan tempatan.
Sehubungan itu, satu lawatan penilaian telah dilaksanakan di Gugusan Easter dan Gugusan Adela, Johor Bahru, sebagai langkah awal dalam mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek perintis agropelancongan FELDA. Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Muhamad Rizal Abdul Rahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Ekonomi Komuniti (JPEK), bersama En. Mahmud Ibrahim, Timbalan Pengarah Wilayah Johor Bahru. Lawatan tersebut membawa mandat khusus daripada pihak kepimpinan tertinggi FELDA bagi menilai keupayaan serta kesiapsiagaan rancangan dalam menyokong agenda pelancongan negara.
Hasil tinjauan mendapati kedua-dua gugusan mempunyai keunikan tersendiri yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai tarikan agropelancongan yang berdaya saing. Di Gugusan Easter, produk seperti Taman Uniti, Pondok Rindu Cafe dan Sadok Campers menawarkan pengalaman santai berteraskan alam semula jadi, selain pakej penginapan desa dan aktiviti sulaman yang memperlihatkan elemen budaya serta kemahiran tradisional komuniti setempat. Pendekatan ini berupaya menarik minat pelancong yang mencari pengalaman autentik dan berteraskan kehidupan luar bandar.
Sementara itu, Gugusan Adela menonjolkan penawaran yang lebih pelbagai dan dinamik, merangkumi Restaurant Bestari, Water Park Adela, ATV Park, Pusat Sembelih KAF serta Motorcross Park. Di samping itu, elemen kebudayaan turut diperkaya melalui persembahan Zapin Kanak-Kanak dan kewujudan Pusat Tenun, yang bukan sahaja berfungsi sebagai tarikan pelancong, malah berperanan memelihara warisan seni tempatan. Kepelbagaian produk ini memberi kelebihan kompetitif dalam menarik segmen pelancong keluarga, belia serta penggemar aktiviti rekreasi.
Secara keseluruhannya, lawatan ini membuktikan bahawa Gugusan Easter dan Gugusan Adela mempunyai asas yang kukuh untuk dibangunkan sebagai model perintis agropelancongan FELDA. Pembangunan ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan ekonomi setempat, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh identiti komuniti serta mengangkat imej rancangan FELDA sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berdaya tahan.
Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada transformasi sektor luar bandar, sekali gus menyumbang kepada kejayaan TMF 2027 melalui penawaran produk pelancongan yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, agropelancongan FELDA berpotensi muncul sebagai salah satu tarikan utama pelancongan negara pada masa hadapan.










Leave a Reply